Wednesday, August 19, 2009

kepimpinan khalid gagap ditolak ditempat sendiri


KUALA SELANGOR – Sebahagian ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Selangor melahirkan rasa tidak berpuas hati mereka terhadap corak kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Ketua Cabang PKR berkenaan.

Ekoran tidak kepuasan hati itu, mereka bertindak menggantung sepanduk di sekitar daerah ini bagi menggesa beliau meletakkan jawatan.

Beberapa sepanduk ‘Katakan tidak kepada Khalid’ mula digantung kira-kira jam 1 pagi semalam oleh sebahagian ahli PKR di sekitar kawasan Assam Jawa dan Kuala Selangor.
Menurut sumber dalam PKR Cabang berkenaan, tindakan menggantung sepanduk tersebut disebabkan ketidakpuasan hati mereka terhadap pentadbiran Abdul Khalid yang menerajui PKR Kuala Selangor.

“Pentadbiran Khalid yang bercorak korporat tidak dapat memberi kesenangan dan menyelesaikan masalah rakyat negeri ini terutamanya di Kuala Selangor, banyak masalah rakyat yang tidak dapat diselesaikan dan rakyat terpaksa menanggung penderitaan,” katanya.

Sinar Harian difahamkan sebelum ini, satu mesyuarat dan memorandum undi tidak percaya telah diadakan untuk menggugurkan Abdul Khalid daripada jawatannya sebagai Ketua Cabang Kuala Selangor.

Berdasarkan sumber berkenaan, Abdul Khalid digugurkan kerana dilihat tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin yang berwibawa apabila tidak mengadakan mesyuarat sehingga lapan bulan serta melanggar kebanyakan perlembagaan parti.

Dalam mesyuarat berkenaan, majoriti daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang telah menandatangani persetujuan untuk menggugurkan beliau.

Sehubungan itu, mereka bertindak menggantung sepanduk berkenaan bagi menggesa Abdul Khalid melepaskan kesemua jawatannya termasuk sebagai Menteri Besar.

sumber - sinar harian, 19 Ogos 2009

No comments: